Friday 5 January 2018

HAK ASASI MANUSIA MENURUT TAKRIF ISLAM

Hak kebebasan asasi manusia bukan perkara mutlak. Ada batasan ditetapkan agama sebagai cara hidup untuk mengelak perkara buruk.

Namun di kebanyakan negara barat yang mengamalkan sekular, urusan agama hanya di rumah ibadat. Perkara lain dalam kehidupan rakyat ditentukan oleh undang-undang.

Dalam hubungan ini, kita dapat melihat perbezaan yang ketara antara fahaman hak asasi Barat dengan Islam.

Fahaman hak asasi Barat berpaksikan anthropocentric yang menjadikan manusia sebagai penentu nilai. Ini disebabkan tanggapan bahawa akal manusia merupakan pertimbangan utama.

Sebaliknya, hak asasi manusia yang menjadi asas pandangan hidup umat Islam berdasarkan kepada ajaran al-Quran dan al-Sunah menjadi neraca atau penentu nilai.

Asas kefahaman yang berbeza ini mendatangkan kesan yang berbeza. Di Barat, atas nama hak asasi manusia, segalanya dibenarkan tanpa difikir persoalan kebenaran, keadilan dan adab.

Buktinya, hubungan seks bebas, perlakuan dan orientasi seks songsang, perkahwinan sesama jenis, keinginan untuk bertukar jantina secara sesuka hati dan segala bentuk kejelekan berteraskan nafsu syahwat liar dianggap sebagai sesuatu yang normal dan munasabah.

Sebaliknya, Islam membataskan kebebasan manusia dan menjadikan ia tertakluk pada asas-asas adab dan akhlak. Asas-asas adab dan akhlak ini pula dijelaskan al-Quran dan al-Sunnah.

Dengan yang demikian, menurut Islam, tidak wujud sama sekali kebebasan yang bersifat mutlak, apatah lagi kebebasan liar yang berteraskan nafsu dan syahwat.

Di Malaysia, Perlembagaan Persekutuan menyenaraikan Perkara 3 yang menyatakan agama Islam sebagai agama Persekutuan. Bagaimanapun Perkara 11 memberi kebebasan beragama yang mana penganut agama lain boleh mengamalkan agamanya secara aman dan bebas.

Berdasarkan kepada Perkara 3 itulah Islam ditegakkan di Malaysia. Apa-apa perkara yang bertentangan dengan Islam, maka ia juga akan bertentangan dengan perlembagaan, melainkan itu berkaitan dengan agama lain.

Contohnya dalam soal amalan perkahwinan sejenis ternyata bertentangan dengan kehendak agama Islam. Maka, sama sekali amalan itu tidak boleh dibenarkan di Malaysia.

Dan tiada mana-mana pihak boleh memohon untuk dibenarkan atas alasan agama lain membenarkannya. Kerana, hal tersebut ternyata tiada mana-mana agama yang mengatakan ia satu perkara dibenarkan oleh agama mereka.

Amalan perkahwinan sejenis diperjuangkan golongan mendakwa atas dasar hak asasi manusia dan bukan tuntutan agama.

Maka atas dasar mana-mana perkara bertentangan dengan agama Islam,maka hendaklah diharamkan, melainkan atas keperluan agama lain, amalan LGBT tidak akan mendapat tempat di Malaysia.

Ketika mana-mana pihak merangka rang undang-undang baharu, maka mestilah bertepatan dengan kehendak Islam dan perlembagaan negara.

Asas ajaran Islam ialah menyuruh melakukan kebaikan dan mencegah perkara buruk. 

No comments:

Post a Comment