Thursday 16 June 2016

Pemimpin berjiwa besar



Pemimpin berjiwa besar teguh memperjuangkan prinsip dan tidak mudah tunduk kepada sebarang bentuk tekanan. Apa saja yang dilakukan berpaksikan kepada keyakinan bahawa tindakan itu bakal membawa kebaikan bukan saja kepada dirinya, tetapi lebih penting kepada agama, bangsa dan negara.  

Pemimpin yang baik dituruti dan dipatuhi akan kepimpinannya disebabkan apa yang dilakukan itu adalah benar dan membawa kepada kebaikan. Orang yang menuruti dan mentaatinya melakukan bukan kerana takut, tetapi disebabkan yakin bahawa pemimpin itu benar dan berwibawa.

Pemimpin yang berjiwa besar tidak malu meminta maaf dan mengaku kesalahan yang telah dilakukan. Pemimpin berjiwa besar bersedia ditegur dan menerima apa-apa cadangan untuk memperbaiki sebarang kelemahan diri.

Hanya mereka berjiwa besar layak menjadi pemimpin.

Satu perkara perlu diingat, jawatan pemimpin bukan mudah dilaksanakan. Persoalannya, mengapa jawatan pemimpin menjadi rebutan? Sedangkan menjadi pemimpin bukan mudah. Sesiapa memahami beban tugas yang terpaksa ditanggung pemimpin, sudah tentu tidak ada orang sanggup berebut menjadi pemimpin. 

Pemimpin melaksanakan tanggunajawab yang besar dan hanya mereka yang berkebolehan layak untuk dilantik menjadi pemimpin.

Ibnu Taimiyyah berkata: “Wajib diketahui bahawa melantik pemimpin bagi urusan masyarakat adalah kewajiban agama yang besar. Urusan keduniaan mereka tidak dapat ditegakkan tanpa ada pemerintahan (pemimpin). Keperluan bani Adam tidak dapat dicapai melainkan dengan berhimpun mereka (masyarakat) di bawah seorang pemimpin, yang mana di antara mereka saling memerlukan di antara satu dengan yang lainnya.

Elok kita menoleh sejarah atau peristiwa untuk memahami sikap mereka yang beriman dan memahami betapa berat tugas terpaksa ditanggung oleh pemimpin, bukan saja di dunia bahkan lebih-lebih lagi apabila dihisab di akhirat kelak.

Peristiwa itu berlaku ketika Khalifah Umar Abdul Aziz diumumkan menjadi khalifah Bani Ummaiyah menggantikan Khalifah Sulaiman Abdul Malik.        

Umar terkejut apabila wasiat menyebut dirinya sebagai pengganti khalifah, lalu berkata: “Demi Allah! Ini sama sekali bukanlah permintaanku, sama ada secara rahsia mahu pun terang-terang.” Lalu dia menaiki mimbar dan berucap kepada hadirin.

Katanya: “Wahai manusia!  Sesungguhnya aku dibebani tugas ini tanpa diminta pendapatku terlebih dahulu. Ini bukan juga atas permintaanku sendiri dan tidak pula berdasarkan musyawarah kaum Muslimin. Sesungguhnya aku kini membebaskan saudara sekalian daripada baiah (ikrar ketaatan) yang terletak di atas bahu saudara semua terhadap diriku. Pilihlah sesiapa yang kamu sukai untuk dirimu sekalian dengan bebas.”

Umar tidak terus menerima wasiat melantiknya menjadi khalifah. Sebaliknya meminta agar diadakan pemilihan secara terbuka. Dia bersetuju menjadi khalifah hanya setelah tidak ada percalonan lain dan pemilihannya dibuat sebulat suara. 

Selepas itu beliau terus berpidato yang antara lain katanya: “Taatlah kamu kepadaku selagi aku taat kepada Allah. Jika aku menderhakai Allah, maka kamu tidak lagi harus mentaatiku. Aku mengucapkan kata-kataku ini dan aku memohon ampun kepada Allah Yang Maha Besar untuk diriku sendiri dan untuk saudara sekalian.”

Sikap Umar itu adalah lambang orang beriman yang sedar betapa jawatan pemimpin bukan satu perkara untuk kebaikan diri, tetapi satu tanggungjawab besar yang perlu dipikul. 

No comments:

Post a Comment