Wednesday 15 June 2016

Ramadan bulan peluang berjimat

Puasa latih diri menahan nafsu. Malangnya, didapati Ramadan jadi bulan puja nafsu makan. Pada bulan Ramadan macam-macam makanan ada. Yang tidak biasa dimakan, akan dimakan pada bukan Ramadan. 

Ada yang sanggup memandu jauh semata-mata ingin mendapat makanan atau minuman yang diingini. Mereka sanggup beratur panjang untuk membeli apa yang diingini. Bahkan ada yang sanggup menunggu hingga masuk waktu berbuka puasa. Begitulah hebatnya kehendak nafsu makan pada bulan Ramadan.  


Maka itu, seperti biasa, ketika berbuka dapat disaksikan ramai yang menikmati juadah seperti berpesta makanan dengan pelbagai macam hidangan. Tidak keterlaluan jika dikatakan majlis berbuka sering dijadikan acara ‘membalas dendam.’ Jika itu yang diterjemahkan mengenai puasa, maka hilanglah manfaat sebenar puasa untuk mengekang nafsu makan. 

Meskipun berbelanja itu menjadi hak seseorang, tetapi hakikatnya Islam memandang perkara ini sebagai pemborosan melampau yang membawa kepada pembaziran. Bahkan ia telah melebihi had kecukupan atau keperluan seseorang. Boros sifat syaitan. Islam menganjurkan agar kita bersederhana dalam apa juga perkara, termasuk dalam soal makan dan berbelanja. 

Membeli pelbagai jenis makanan dan minuman kadangkala agak keterlaluan dan melampaui batas. Apa yang dibeli bukan satu keperluan atau hendak dimakan.  Kita tentu dapat mengagak sendiri adakah semua makanan yang dibeli itu dapat dimakan semuanya.  Biarpun nafsu kita besar, hakikatnya perut kita ada batasannya.  

Cara terbaik mendidik nafsu ialah mengelak daripada melihat pelbagai juadah yang dijual. Nafsu hendak membeli akan tertutup jika kita tidak melihat makanan yang pelbagai jenis itu. Maka itu, hadkan masa atau tempat untuk membeli. Jangan berada terlalu lama di gerai atau bazar menjual makanan. Setelah membeli apa yang perlu, segera beredar dari termpat itu.

Kita juga perlu bersihkan hati daripada sifat buruk suka boros. Apabila kemahuan mampu dihadkan, kepenggunaan pun dapat dihadkan. Akhirnya hal ini membawa kepada sikap berjimat cermat dan mengguna sekadar keperluan untuk memenuhi kemudahan hidup. 

Justeru, mereka tidak lagi berbelanja atau mengguna secara berlebih-lebihan (boros) sehingga membawa kepada pembaziran. Amat mendukacitakan apabila pembaziran dilakukan ketika ada segelintir ahli masyarakat terlalu memerlukan bantuan.

Alangkah baiknya jika kita menghapuskan amalan pemborosan dan pembaziran dengan menggalakkan amalan kebajikan seperti bersedekah. Sedikit bantuan atau sumbangan dihulurkan, Allah SWT akan menyediakan ganjaran pahala berlipat kali ganda.

Amalan sebegini secara tidak langsung akan menggambarkan tujuan sebenar Allah SWT mensyariatkan puasa Ramadan, seterusnya melahirkan masyarakat penyayang dan berwawasan. 

Allah SWT berfirman bermaksud: “Dan berikanlah kepada keluarga yang dekat akan haknya, kepada orang Muslim dan orang yang dalam perjalanan; dan janganlah kamu membelanjakan (hartamu) secara membazir (boros).” (Surah al-Isra’, ayat 26) 

Allah SWT menggalakkan amalan bersedekah dan melarang amalan berbelanja secara berlebihan sehingga membawa kepada pembaziran. Oleh itu, marilah bersama meninggalkan sesuatu yang keji dan mengamalkan yang baik lagi terpuji. 

No comments:

Post a Comment