Thursday 31 March 2016

Kewajiban terhadap jiran

Hidup dalam satu masyarakat, kita pastinya mempunyai jiran. Hubungan baik sesama  jiran mesti dijaga bagi menjamin keharmonian, kesejahteraan dan keselamatan berkekalan.  

Peraturan hidup berjiran perlu dipatuhi agar dapat mengelak berlaku selisih faham, perpecahan, perbuatan memulau dan melakukan amalan memutuskan silaturahim. 

Dalam menjamin perpaduan dan kerukunan hidup berjiran, maka perlu ada peraturan atau adab-adab kejiranan yang diamalkan secara berterusan. Adab kejiranan perlu dipatuhi sebagai rukun untuk mengelak perkara tidak diingini berkaitan hubungan sesama jiran. 

Hubungan kejiranan kekal harmoni jika setiap jiran mempunyai matlamat hidup yang sama, yakni ingin kepada perpaduan dan kesejahteraan. Mereka ingin menjadikan lingkungan kejiranan sebagai tempat tinggal paling selesa. Hak jiran dijaga sepertimana dia menjaga haknya sendiri.

Justeru, urusan berkaitan kejiranan perlu dijaga dengan baik. Banyak kes kejiranan tidak dapat diselesaikan disebabkan masing-masing tidak mahu mengalah. Mereka menganggap perkara itu bersifat peribadi yang mana menjadi haknya melakukan apa yang diingini. 

Ungkapan ‘perduli apa dengan orang lain’ biasa diucapkan oleh mereka yang mementingkan diri sendiri.

Jiran yang mencari kebaikan sanggup melakukan apa saja bagi memenuhi tuntutan hidup berjiran, biarpun terpaksa mengorbankan keinginan diri sendiri. Setiap tindakan yang dilakukan difikirkan apakah kesannya terhadap jiran-jiran.

Bagi memastikan hubungan kejiranan berlainan agama berjalan baik, setiap jiran perlu memahami dan mengetahui sedikit sebanyak mengenai jirannya berkaitan cara hidup, agama, budaya dan pantang larang mereka.

Dalam hubungan kejiranan memang tidak dapat mengelak daripada berlaku selisih faham. Hakikat ini tidak dapat ditolak. Tidak dinafikan ketika timbul sesuatu keadaan tidak puas hati dan perasaan marah meluap-luap, ‘permusuhan’ boleh berlaku.

Dalam sebarang pertelingkahan dan perbalahan, manusia selalu condong kepada memperbesar-besarkan cacat cela dan kesalahan orang lain. Mereka meletakkan diri sendiri sebagai seorang yang selalu bersih, baik, tidak salah dan jujur.

Untuk menangani masalah itu, kita mesti tenang dan muhasabah diri. Fikirkan apakah punca sebenar perkara tersebut berlaku dan cari jalan penyelasaian. 

Untuk membentuk hubungan kejiranan yang kukuh adalah perlu setiap individu mengamalkan sifat mulia seperti ikhlas, jujur, amanah dan saling menghormati. Sebaliknya, sikap buruk seperti iri hati, mengumpat, dengki, fitnah dan buruk sangka mesti dijauhkan.

Pakar jiwa ada mengatakan kecenderungan melakukan perkara buruk berpunca sikap angkuh dan tidak peduli kesan perbuatan yang dilakukan. Mereka tidak segan silu melakukan kritikan dan serangan yang menyentuh kehormatan, maruah dan cacat cela yang semula jadi seseorang.

Seorang jiran yang baik akan mengelak diri daripada melakukan kritikan tidak berasas dan bersikap angkuh kerana dia akan sentiasa mencermin diri serta melihat cacat cela muka dan diri sendiri. Sikap itu dengan sendiri akan menyedarkan diri bahawa tidak ada gading yang tidak retak.  

Pun begitu, dalam keadaan sedar dan ikhlas untuk menghalang berlakunya sesuatu keburukan, maka amalan tegur menegur dan melakukan kritikan yang tidak melanggar prinsip amalan berjiran hendaklah dilakukan dengan berhemah.

Kehidupan kejiranan yang harmoni menjadi aset penting untuk membentuk sebuah negara yang maju dan selamat.

Kejayaan hijrah ke Madinah membuka peluang Islam berkembang

Hijrah Nabi Muhammad SAW ke Madinah menjadi titik permulaan kejayaan umat Islam. Di Madinah, Islam dapat disebarkan secara terbuka dan mendapat sambutan. Berbanding ketika berada di Makkah, dakwah tauhid disampaikan Nabi Muhammad SAW mendapat tentangan hebat. 

Pembesar Musyrikin sedar semakin banyak orang tertarik seruan tauhid dibawakan Rasulullah SAW. Keadaan ini menimbulkan kebimbangan penduduk Makkah akan meninggalkan amalan menyembah berhala diwarisi sejak datuk nenek mereka.
 

Keadaan itu mendorong tindakan jahat seperti mengancam, dikhianati, diseksa dan dihalau dari kampung. Namun, itu semua tidak mematahkan semangat Rasulullah SAW terus berdakwah.
 

Penganut Islam tidak gentar untuk berdepan dengan tindakan tidak perikemanusiaan itu demi mempertahankan nur keimanan yang menyinari hati.
 

Musyrikin cuba mengumpan Nabi Muhammad SAW dengan kekayaan, pangkat dan segala permintaan ditunaikan jika baginda menghentikan usaha menyebarkan agama tauhid, namun tidak berjaya.
 

Menyedari Makkah tidak sesuai diteruskan dakwah, lalu Nabi Muhammad SAW mencari tempat lain difikirkan lebih selamat. Tempat pertama dipilih ialah Taif. Namun, keadaan tidak memihak kepada Rasulullah SAW.
 

Tempat lain pernah dijadikan tempat hijrah ialah Habsyah. Walaupun mendapat layanan baik Raja Habsyah, terdapat beberapa keadaan menyebabkan Habsyah tidak menjadi destinasi hijrah Rasulullah SAW. Namun, ramai sahabat terus tinggal di Habsyah untuk tempoh lama.
 

Penghijrahan Nabi Muhammad SAW ke Madinah tidak dilakukan secara terburu-buru. Rasulullah SAW mengkaji latar belakang atau kesesuaian sebelum berhijrah.
 

Rasulullah SAW menguji penerimaan penduduk Madinah dengan berdakwah kepada mereka yang datang ke Makkah mengerjakan haji. Penerimaan baik penduduk Madinah membawa termeterainya Perjanjian Aqabah yang menjadi perintis kepada hijrah.
 

Hijrah Nabi Muhammad SAW ke Madinah mendapat sambutan luar dugaan. Seluruh penduduk Madinah keluar dengan gembira menyambut ketibaan Rasulullah SAW. Masing-masing berebut-rebut memberi tempat tinggal dan bantuan.
 

Beberapa dekad kemudian, Madinah menjadi pusat pemerintahan Islam terkenal dan menguasai seluruh Semenanjung Arab, Utara Afrika, sebahagian Eropah dan Asia Barat. 

Serondeng Kampung Laut popular di Kelantan

Serondeng (biasanya dieja serunding) merupakan sejenis masakan daripada siatan daging, ayam, ikan dan sebagainya yang dimasak bersama santan dan rempah-rempah sehingga kering, dan kadangkala berminyak agar tahan lama.

Serondeng dimasak dan dikacau tanpa henti hingga betul-betul garing atau kering kerana dengan cara itu saja ia akan tahan lama. Serondeng atau dalam dialek Kelantan dipanggil 'sambal' yang dimasak kering boleh disimpan lama hingga satu tahun.

Selain dimakan bersama nasi sebagai 'perisa', serondeng juga dijadikan inti untuk beberapa jenis kuih, terutamanya ketupat bucu atau ketupat palas. Selain itu ia juga dicampurkan ke dalam bubur, oak dan makanan dalam bentuk cair atau lembik. 

Di Kelantan, antara lokasi penghasilan serondeng terkenal ialah di Kampung Kubur Maras, Kota Bharu dan Kampung Laut Tumpat. 

Selain itu terdapat juga pengusaha serondeng di Machang dan Pasir Mas yang tidak kurang juga terkenal menghasilkan serondeng terbaik.

Setiap pengusaha serondeng memang ada resipi masing-masing. Namun, tidak banyak beza antara satu sama lain. 

Selain, menggunakan ramuan berbeza, satu lagi ciri perbezaan serondeng ialah sama ada ia dalam keadaan garing, kering atau lembab. 

Serondeng garing adalah kering sepenuhnya. Teksturnya seakan-akan hancur. Boleh disimpan lebih lama.

Serondeng kering tidaklah kering sepenuhnya. Masih ada kelembapan dan teksturnya agak lembut. Boleh disimpan melebihi setahun. 

Manakala serondeng lembab dalam keadaan berminyak. Teksturnya agak lembut. Boleh disimpan sehingga 10 bulan. 

Ketiga-tiga jenis ada peminat mengikut cita rasa masing-masing. Sesuai untuk dimakan dengan nasi, dijadikan inti kuih mahupun dicampur dalam makanan jenis bubur.